HERBA

HERBA
SERINGAN

Tuesday, July 22, 2014

Korea Selatan 2

Rabu:               Seawal  7.00 pagi kami telah meninggalkan hotel dan mengambil sarapan di Restoran Mentari, sebuah restoran halal melayu. Kemudian, kami bertolak ke ‘Nami Island’ Pulau Nami yang mengambil masa 2 jam perjalanan dari Itaewon. Di kesempatan ini saya merakam dan mengambil gambar pemandangan sekitar, di mana terdapat sawah padi dan padi huma. Penduduk pedalaman Korea sangat rajin dan gemar bertani. Mereka akan bercucuk tanam walaupun dibawah talian tali eletrik.  Kagum saya melihat sungai  dan parit yang sangat bersih, langsung tiada sampah.  Ternyata penduduk Korea sangat mementingkan kebersihan dan berdisiplin. Ini dibuktikan apabila saya melihat sendiri pelajar sekolah membawa beg plastik bersama mereka bagi membuang sampah atau sisa makanan. Amat sukar untuk melihat adanya sampah di jalan-jalan atau di tempat-tempat yang kami kunjungi. Untuk ke Pulau Nami kami menaiki feri yang mengambil masa 10 minit. Pulau Nami sangat cantik, di sinilah penggambaran drama bersiri Winter Sonata dibuat. Dapat dirasakan seolah-olah kami sedang menjalani penggambaran pula dengan pokok-pokok maple, berbagai bunga-bungaan yang harum dan menarik, dihiasi belon-belon di sepanjang laluan pokok maple. Satu riadah yang bagus secara berjalan kaki dicelah pokok-pokok yang indah.  Di sebelah kiri pula terdapat bendera-bendera dunia berada di sepanjang laluan tersebut. Kami juga dapat menyaksikan lukisan-lukisan dari pelukis terkenal, serta pelbagai ukiran yang unik terdapat di sana. Saya berasa sangat kagum di tempat sebegini masih terdapat surau, ternyata orang Korea sangat menjaga kebajikan dan tahu keperluan dan kewajipan pelancong Islam.  Selepas itu kami pergi ke Mount Sorak National Park, melihat  ‘Kwongumsong Fortress’ melalui kereta kabel. Saya dan beberapa peserta yang berkemampuan melakukan aktiviti  agak lasak dengan mendaki gunung Sorak, iaitu gunung yang ke-3 tertinggi di Korea Selatan.  Alhamdulillah sampai ke puncak, pemandangan yang sangat menarik dengan suhu yang sejuk. Dari Mount Sorak, kami singgah di Teddy bear farm.  Oleh kerana sebab jarak Mount Sorak ke tempat penginapan di Itaewon agak jauh, kami bermalam di Hotel Delpino hotel. Di hotel ini, kami mempunyai pilihan sama ada tidur secara di atas tilam biasa atau tidur di atas tilam nipis yang dihamparkan di atas lantai seperti cara orang Korea tidur.